10 Disember 2013

Menghadapi Musim Banjir



SETIAP kali banjir besar berlaku, banyak kerugian terpaksa ditanggung oleh mangsa bencana alam itu. Selain kerugian harta benda, penduduk di kawasan yang terlibat juga perlu berwaspada dalam aspek kesihatan kerana mereka terdedah kepada gejala penyakit.

Selain penyakit berjangkit seperti kencing tikus dan campak, mereka perlu bersedia berhadapan kes ringan seperti batuk, selesema, demam dan jangkitan penyakit kulit. Mereka yang mengalami tanda-tanda penyakit berkenaan perlu mendapatkan rawatan segera.

Bagi ibu hamil yang hampir bersalin, lengkapkan segala persiapan termasuk untuk bayi yang bakal lahir dan simpan di tempat mudah dicapai. Lebih baik jika tinggal berdekatan hospital atau di luar kawasan banjir .


Dokumen penting seperti kad pengenalan dan kad antenatal mesti disimpan rapi. Bagi mengelak masalah ketika bersalin, simpan nombor telefon klinik, hospital dan orang yang boleh dihubungi ketika kecemasan.



Pesakit kronik

Banjir juga mengganggu jadual rawatan bagi pesakit kronik. Justeru mereka perlu mendapatkan bekalan ubat mencukupi dan pastikan kad rawatan serta dokumen penting lain tidak hilang.

Jika berada di pusat penempatan sementara banjir, hubungi pegawai kesihatan atau perubatan untuk bantuan jika bekalan ubat habis atau hilang dan jika ada tanda-tanda penyakit tertentu.

Selain itu, mereka yang memerlukan rawatan penyakit berkala seperti hemodialisis perlu memaklumkan kepada pegawai berkenaan untuk bantuan atau dipindahkan ke pusat yang mempunyai peralatan bersesuaian.

Ahli keluarga pesakit yang terlantar pula dinasihat mendapatkan bekalan ubat lebih awal untuk pesakit. Kenderaan yang sesuai perlu untuk memindahkan pesakit jika keadaan banjir semakin teruk atau diarahkan oleh pihak berkuasa.



Elak kecederaan dan jangkitan penyakitJangkitan penyakit, terutamanya bawaan air adalah suatu kebiasaan semasa dan selepas musim banjir. Air banjir mengandungi banyak jenis kuman (virus, bakteria, fungus) dan parasit (seperti cacing) akibat bercampur dengan air kotor dan air kumbahan.


Penduduk Kampung Temai Tengah, Pekan, Pahang terpaksa menggunakan sampan untuk pergi dan balik bagi menunaikan solat Jumaat selepas kampung mereka ditenggelami banjir

Dalam pada itu, serpihan berbahaya seperti kayu, kaca dan bahan kimia di dalam air banjir boleh menyebabkan kecederaan. Oleh itu, mangsa banjir perlu mengelak kecederaan kerana bantuan mungkin sukar diperoleh sementara kuman pula mudah memasuki luka kecederaan, walaupun kecil.

Bagi mengelak jangkitan penyakit, mereka yang berisiko atau terlibat dengan banjir perlu mengutamakan kebersihan.

Golongan paling berisiko ialah kanak-kanak, warga emas, ibu mengandung dan pesakit yang lebih terancam jika dijangkiti kuman melalui makanan (dan air) tercemar atau akibat luka kecederaan.


Pemandu kenderaan mengambil risiko meredah air di sebatang jalan utama di bandar Dungun, Terengganu

Selepas banjir 

Walaupun banjir telah surut, jangan terus memasuki rumah kerana anda belum pasti keadaan dalam rumah anda. Sebaik-baiknya, periksa dahulu kerosakan dinding, lantai, siling, pintu dan tingkap serta perhatikan tanda-tanda rekahan atau mendapan yang mungkin melemahkan struktur rumah.

Selain itu, periksa paip saluran gas, wayar elektrik, peralatan elektrik dan bahan-bahan mudah terbakar di samping kerosakan pada tangki septik bagi memastikan jika berlaku pencemaran bahan kumbahan atau bahan kimia, serta kebocoran gas, air dan elektrik sekitar kediaman.

Bagi mengelak serpihan tajam dan ancaman binatang berbisa, gunakan kayu jika ingin mengalihkan sebarang halangan di sekitar kawasan rumah. Kerja-kerja pembersihan perlu dimulakan secepat mungkin di dalam dan luar rumah. Bersihkan juga semua peralatan menggunakan air bersih, sabun dan klorin. Ini dapat mengelakkan penularan penyakit termasuk bawaan nyamuk yang membiak dalam air banjir.

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
Sumber: Utusan

0 comments: